Kekalkan Rumah Besar - Amanah penting bekas pelajar Seri Puteri
December 20, 2006 by jid-silverblade
Oleh Rajmah Hasan Shirat
RUMAH Besar iaitu banglo ala-kolonial adalah antara bangunan lama yang menjadi nostalgia kepada seluruh warga Sekolah Seri Puteri.
Rumah berkenaan dikatakan barang `artifak’ yang perlu dikekalkan kerana ia menyimpan banyak kenangan manis kepada warga sekolah terutamanya di kalangan para pelajarnya.
Menurut salah seorang bekas guru Sekolah Seri Puteri, Salasiah Maria Talib, Rumah Besar itu adalah antara bangunan kesayangan seluruh warga sekolah berkenaan.
"Sudah menjadi tradisi kepada semua pelajar untuk merakam gambar mereka dengan berlatar belakang banglo ini sebelum masing-masing menamatkan persekolahan mereka,” katanya ketika dikunjungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Pada awal Mac lalu, Sekolah Seri Puteri berpindah ke premis baru di Cyberjaya dan kini bekas tapak sekolah berkenaan akan dijadikan Sekolah Menengah Sains (SMS) Seri Puteri yang akan beroperasi pada 9 Jun ini.
SMS Seri Puteri yang merupakan bekas tapak premis Sekolah Seri Puteri di lokasi Jalan Kolam Air, Kuala Lumpur, terletak di kawasan bukit dan `berjiran’ dengan bangunan komersial Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) serta pusat membeli belah The Mall.
Salasiah yang dikenali di kalangan pelajar-pelajar Seri Puteri sebagai cikgu Maria berkata, pemandangan indah yang seolah-olah berada di luar negara, terutama waktu pagi apabila cuaca berkabus merupakan ciri utama Rumah Besar menjadi `rebutan’ lokasi penggambaran.
"Selain itu, banglo ini juga merupakan tempat pertemuan para pelajar yang aktif berpersatuan, kaunseling dan sebagainya,” katanya yang pernah berkhidmat empat tahun di Sekolah Seri Puteri sebelum bertukar ke Sekolah Menengah Sains Selangor.
Beliau yang kini dilantik menjadi Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMS Seri Puteri mengakui menerima ‘amanah’ daripada pelajar-pelajar Sekolah Seri Puteri supaya mengekalkan banglo berkenaan.
"Saya dapat rasakan mereka terlalu sayangkan banglo ini malah bekas-bekas guru dan alumni Seri Puteri semua mahu ia dipelihara sebaiknya.
"Malah ada bekas-bekas guru Seri Puteri singgah ke sekolah ini semata-mata ingin melihat sebarang perubahan yang telah dilakukan ke atas bangunan-bangunan sekolah,” katanya yang berpengalaman 24 tahun dalam bidang pendidikan.
Selain Rumah Besar, Salasiah memberitahu, Gelanggang Bola Keranjang merupakan tempat paling terkenal di kalangan warga Sekolah Seri Puteri.
"Tempat inilah selalu diadakan jamuan makan malam setiap kali Majlis Alumni diadakan yang mana boleh memuatkan kapasiti lebih 500 orang,” katanya.
Bekas guru Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah, Pekan, Pahang itu memberitahu beliau merasakan beberapa keunikan yang terdapat di Sekolah Seri Puteri.
"Banyak kenangan manis sepanjang tempoh empat tahun saya mengajar di sini.
"Paling menakjubkan ialah budaya kerja warga sekolah ini yang sangat komited dan hubungan kekitaan yang sangat menebal di kalangan pelajar dan guru.
"Hubungan rapat bukan setakat sesama manusia tetapi juga dengan semua bangunan dalam persekitaran sekolah.
"Ini dapat dilihat seolah-olah bangunan ’sedih’ dan ‘tidak bernyawa’ setelah pemergian warga Sekolah Seri Puteri,” katanya yang berazam mengembalikan keceriaan sekolah berkenaan.
Salasiah memberitahu, beliau bersama 15 orang guru lepasan universiti termasuk dua lagi bekas guru Seri Puteri telah diberi tanggungjawab menerajui SMS Seri Puteri.
"Selain saya, dua bekas guru Seri Puteri iaitu Sabihah Ibrahim (dilantik sebagai pengetua SMS Seri Puteri) dan Zurina Hashim serta selebihnya dibantu guru-guru lepasan ijazah akan cuba meningkatkan kecemerlangan akademik sebagaimana Seri Puteri.
"Tanggungjawab kami agak berat memandangkan kita membawa nama ‘Seri Puteri’ dan masyarakat sudah mengharapkan yang terbaik dari kami, kalau tidak pun kecemerlangan kami setara dengan Seri Puteri,” katanya.
Sekolah Seri Puteri ditubuhkan pada 6 Mei 1968 dan pada masa itu dikenali dengan nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Jalan Kolam Ayer.
Pada 16 September 1978 semasa merayakan ulang tahun Seri Puteri yang ke-10, sekolah berkenaan ditukar nama kepada Sekolah Seri Puteri oleh pengetua keempatnya, Zainab Mohd Yusop.
Resource from Utusan Online, 28 Aug 2006
huhuh…mcm nak nangis je aku baca
tu r..ms aku dpt article ni pn sedih giler..xtau r pecite umah besar skang =(
hanya “bernyawa” bile pelajar sekolah seri puteri sahaja!